![]() |
| Gambar Hiasan |
Pada zaman dahulu, ada raja yang memerintahkan rakyatnya membina istana yang gah, cantik dan hebat. Sebaik sahaja istana itu siap, raja itu pun mengadakan majlis perasmian. Seluruh rakyat jelata dijemput hadir.
Pada hari perasmian itu, penyambut tetamu berada di setiap pintu masuk bagi menanyakan satu soalan. Kesemua penyambut tetamu itu menanyakan soalan yang sama iaitu, "Adakah kamu nampak apa-apa cacat cela pada bangunan istana ini? "
Semua jemputan yang hadir memberikan jawapan yang sama, "Tidak".
Majlis perasmian itu hampir tamat. Kelihatan sekumpulan anak muda yang memakai pakaian aneh tiba di salah satu pintu masuk. Penyambut tetamu itu bertanya, "Adakah kamu nampak apa-apa cela pada istana ini ? "
"Kami nampak dua kecacatan pada bangunan ini," jawab mereka serentak.
"Kamu semua terpaksa kami tahan. Semua jemputan mengatakan istana ini sempurna tanpa cacat cela. Berbeza sekali dengan jawapan kamu," kata penyambut tetamu itu. Dia terus melaporkan hal itu kepada raja.
"Aku benci jawapan mereka. Bawa mereka menghadap aku sekarang," kata raja itu selepas menerima laporan daripada penyambut tetamu. Sekeumpulan anak muda tersebut dibawa menghadap raja. Sebaik sahaja mereka masuk ke pejabat pentadbiran diraja, raja terus menanyakan soalan, "Benarkah kamu nampak kecacatan istana ini?"
"Ya, benar. Kami nampak dua kecacatan pada bangunan ini." jawab mereka.
"Apakah kecacatan itu?, tanya raja lagi.
"Bangunan ini pasti musnah dan pemilik istana ini pasti mati suatu hari nanti," jawab mereka.
"Wujudkah istana atau binaan yang tidak hancur selama-lamanya? " tanya raja itu.
"Ya ,Wujud," jawab mereka.
"Bangunan apakah itu?" tanya raja bertubi-tubi.
"Kehidupan dan binaan pada Hari Akhirat," jawab mereka semua.
Raja itu berfikir sebentar.
Rupa-rupanya, sekumpulan anak muda itu adalah pendakwah agama yang benar. Sejurus selepas perbincangan, mereka terus mengajak raja itu memeluk agama Islam. Raja itu menerima dakwah anak muda itu di hadapannya dan memeluk agama Islam.
"Saya mahu berterima kasih kepada kamu semua kerana menyedarkan saya daripada terus melakukan kesilapan," kata sang raja.

No comments:
Post a Comment